Tuesday, February 22, 2011

lelaki menangis

Isu lelaki menangis tiba-tiba menjadi topik perbualan hangat bukan hanya di blog-blog malah di radio pun turut menerima tempiasnya walaupun isu ini taklah sehangat isu AdukaTaruna. Isu lelaki menangis dijadikan topik perbincangan untuk slot yang dikendalikan oleh Zaff dan Tuah di radio Suria FM. Adakah Suria FM memanipulasi isu ini kerana ia ada kaitan dengan penyampai barunya, Linda Onn? Jika ya, agenda tersembunyi ni tak patut diwar-warkan di radio. Kes itu masih menjadi kes mahkamah, tak usah diperbesar-besarkan.
Isunya bermula apabila Fahrin Ahmad menitiskan air mata kerana kononnya dia didakwa sebagai seorang yang panas baran dan kaki pukul dalam satu kenyataan Linda baru-baru ini. Dakwaan itu merupakan tamparan hebat kepada Fahrin sehingga dia terpaksa mengambil keputusan yang agak sukar iaitu membawa kes itu ke mahkamah. Dia menghadapi tekanan emosi sejak kebelakangan ini kerana dakwaan itu. Dia turut memberitahu bahawa keburukan-keburukan yang diceritakan oleh bekas-bekas kekasihnya itu telah mengaibkan dirinya.
Ok, berbalik kepada persoalan asal. Adakah lelaki tak boleh menangis? Jika YA, bagi saya 10 sebab kenapa lelaki tak boleh menangis? Lumrah manusia, kita menangis untuk menzahirkan perasaan kita bila terlalu sedih atau terlalu gembira, terharu, kecewa dan sebagainya. Masa kita kecil-kecil dulu, selalu mak ayah kita cakap, “lelaki tak boleh menangis, malulah kalau orang tengok.” Kata-kata itu sedikit sebanyak mempengaruhi fikiran lelaki untuk tak menangis dan mereka lebih rela menangis di dalam hati.
Bila lelaki menangis, orang akan cop mereka sebagai lembik, tak sejati, pondan dan tak macho. Jadi walau sesedih mana pun lelaki, mereka akan berusaha mengawal air mata daripada tumpah. Mungkin masyarakat menganggap lelaki sebagai ego dan keras hati. Tapi betul ke? Cuba kita tanya balik, kenapa lelaki jadi macam tu. Bukan ke tanggapan masyarakat sendiri yang ‘mengeraskan’ hati lelaki untuk menangis?
Berdasarkan satu kajian daripada Penn State University, Amerika Syarikat air mata lelaki kini lebih diterima berbanding perempuan. Kajian ke atas 284 orang itu mendapati, tangisan lelaki lebih dilihat positif kerana mencerminkan kejujuran sedangkan tangisan perempuan pula dilihat sebagai hilang kawalan. Kenapa tangisan lelaki dikatakan jujur? Ini kerana, lelaki sejati hanya menangis dalam situasi yang benar-benar menyentuh hati mereka seperti apa yang dialami oleh Fahrin Ahmad.
Kesimpulannya, sesiapapun boleh menangis untuk menzahirkan perasaan yang terbuku dalam hati. Tiada salahnya untuk lelaki menangis. Tetapi biarlah tangisan itu kena pada tempat dan masanya dan apa yang penting tangisan itu tidaklah keterlaluan. Nanti orang cakap kau over pulak. Hehe.

No comments:

Post a Comment